Beraya Dengan Sihat dan Selamat

Hari Raya Aidilfitri bakal menjelang. Umat Islam di Singapura ghairah membuat persiapan. Keghairahan ini lebih terserlah memandangkan perayaan Hari Raya tahun ini disambut dengan kelonggaran sekatan dan batasan akibat pandemik COVID-19.

Namun, seperti tahun-tahun yang sudah, pendekatan bagi menyambut Aidilfitri, wajar dilaksanakan dengan cara yang sihat dan selamat.

SETAHUN SEKALI

Sambutlah Aidilfitri dengan penuh keriangan, kemeriahan dan kesyukuran.

Perhatikan cara dan gaya pemakanan. Usah keterlaluan sehingga makan dan minum secara berlebihan, apatah lagi semasa menikmati makanan dan minuman yang kurang sihat dan kurang berkhasiat.

Ini termasuk hidangan yang mengandungi kadar gula, lemak dan kolesterol yang tinggi. Yang penting, utamakan kesederhanaan dan keseimbangan.

Usah anggap sambutan Hari Raya sepanjang Syawal sebagai bulan untuk "membalas dendam" setelah menahan lapar dan dahaga semasa berpuasa sebulan.

Ramadan melatih diri kita untuk lebih banyak bersabar dan berdisiplin. Sikap ini harus kita kekalkan setelah bulan Ramadan berakhir.

KESAN BERPUASA

Salah satu kesan fizikal yang agak ketara dirasai setelah berpuasa sebulan sepanjang Ramadan adalah penurunan berat badan. Ini sekaligus meningkatkan tahap kesihatan terutama sekali bagi mereka yang mempunyai masalah kegemukan.

Ramai yang susut berat badan sehingga lima kilogram atau lebih. Usah kita sia-siakan usaha berat mengurangkan berat badan setelah tamat berpuasa. Kita wajar mengorak langkah untuk kekalkan berat badan yang lebih sihat dan berazam untuk memperkukuhkan tahap kesihatan yang lebih baik.

Masalah kegemukan dan pemakanan yang kurang sihat adalah antara punca utama penyakit-penyakit kronik yang meruncing dan melanda kaum Melayu seperti kencing manis, tekanan darah tinggi, penyakit jantung koronari, angin ahmar dan masalah ketidaksuburan. Kesihatan amat berharga. Apabila kita dan keluarga kita sihat, kita semua dapat merai dan menikmati banyak lagi bulan-bulan Ramadan dan Syawal yang mendatang.

CARA DAN GAYA PEMAKANAN

Terdapat pelbagai cara untuk mengubah-suai cara memasak hidangan-hidangan Hari Raya dengan cara dan resipi yang lebih sihat.

Antaranya adalah seperti membakar atau memanggang selain daripada menggoreng, melebihkan sayur-sayuran atau buah-buahan yang berkhasiat dalam hidangan, tidak menggunakan santan dalam lauk-pauk, menggunakan 'air fryer' untuk menyediakan juadah dan mengurangkan gula, garam dan minyak dalam masakan.

Anda pasti sudah maklum bahwa sekarang terdapat banyak pilihan minuman yang mengandungi kadar gula yang telah dikurangkan. Buatlah pilihan bijak dan elakkan daripada menghidang atau meminum minuman yang bergas dan mengandungi kadar gula yang tinggi.

Awas ya! Gula yang diambil secara berlebihan, jika tidak dibakar, akan berubah menjadi lemak dalam tubuh.

UBAH CARA HIDANGAN

Tahun ini, ramai yang akan menganjurkan rumah terbuka dan majlis keramaian, mengikut syarat keselamatan yang telah ditetapkan. Dalam menyediakan juadah Hari Raya, saya harap pihak tuan rumah dapat mengawal dan menyekat sajian yang dihidangkan untuk para tetamu.

Kajian jelas menunjukkan bahwa jika jamuan yang disediakan terhidang secara berlebihan, maka terdapat kemungkinan besar para tetamu akan turut makan secara berlebihan. Oleh demikian, cuba elakkan daripada sajian yang berbentuk bufet. Hidangkan makanan mengikut sukatan yang sihat. Hidangkan sajian mengikut kajian.

Apabila menjamu selera pelbagai jenis kuah, kek dan kerepek yang disaji, ingat bahwa makanan-makanan ini tergolong dalam kategori makanan ringan. Makanya, makan secara ringan.

ATUR PERANCANGAN

Jika anda berhajat untuk berkunjung ke beberapa rumah dalam sehari, buat perancangan awal yang menyeluruh untuk mengelakkan daripada memakan secara berlebihan dan tidak terkawal. Pihak tuan rumah tidak akan berkecil hati jika anda hanya menjamu selera secara ringan, jika anda menerangkan duduk perkara mengenai jadual kunjung-mengunjung yang agak padat sepanjang hari itu.

Yang lebih penting semasa berhari Raya adalah untuk mengeratkan kembali tali persaudaraan, bermaaf-maafan dan bukan untuk mengisi perut. Adalah baik jika dapat mengatur jadual kunjungan supaya tidak berkepanjangan sehingga ke larut malam. Ini wajar diamalkan demi untuk mengelakkan daripada makan terlalu lewat pada waktu malam sebelum waktu tidur.

Kita dianjurkan supaya tidak makan sekurang-kurangnya 3 hingga 4 jam sebelum tidur malam. Jika makan berlebihan sehingga lewat malam dan kemudian pulang rumah untuk terus masuk tidur, ini boleh menyebabkan masalah kegemukan.

JALAN RAYA

Selepas mengunjung ke satu rumah, mungkin salah satu aktiviti yang baik adalah dengan tidak menggunakan lif apabila beredar untuk ke rumah yang selanjutnya. Jika terdapat peluang, gunakan tangga supaya dapat segera membakar kalori sejurus melepas menjamu selera.

Adalah satu tabiat yang baik untuk berjalan kaki selama setengah jam selepas makan. Makanya, cuba lakukan sedemikian setiap kali selepas makan. Pastinya lebih meriah jika anda sekeluarga atau bersama teman-teman dapat berjalan kaki buat seketika sebelum menuju ke destinasi selanjutnya.

Bayangkan anda berjalan bersama-sama dalam satu kumpulan, dengan menggayakan baju Hari Raya sedondon atau berwarna-warni. Lebih-lebih lagi sekarang kita tidak perlu memakai pelitup muka apabila berjalan di luar rumah. Makanya boleh senyum lebar untuk mengambil gambar.

Itulah dinamakan " Instagram Moment", yaitu saat untuk bergambar dan kemudian dimuat naikkan gambar itu ke laman media sosial Instagram. Gambar itu sesuai disertakan dengan kapsyen "Jalan Raya" yaitu dengan erti kata "Jalan" yang sebenar-benarnya. Pasti dapat sambutan mewah di Instagram!

Jika gambar yang dimuatnaik mempunyai ciri-ciri unik dan menarik, pasti tular. Sambil berjalan, kita bergembira, bermesra, membakar kalori dan membantu penghadaman makanan.

SENAMAN DAN SUKAN

Sementara anda mengatur jadual kunjung-mengunjung, apa kata anda turut menyediakan jadual bersenam dalam bulan Syawal. Biasanya, kunjungan semasa Hari Raya bermula sekitar waktu tengah hari. Makanya, apa kata kita bersenam pada waktu pagi dahulu.

Dengan tamatnya puasa di bulan Ramadan, senaman secara intensif dengan mengeluarkan peluh boleh diamalkan kembali. Jika anda berhajat untuk "membalas dendam" selepas Ramadan untuk kembali aktif bersukan dan bersenam, dipersilakan.

Pilih jenis senaman dan sukan yang anda senangi dan gemari, asalkan anda komited dan dapat mengeluarkan keringat serta meningkatkan nadi jantung, demi untuk membakar kalori dan membina tubuh yang lebih sihat, cergas dan kuat.

Kita digalak untuk aktif bersenam sekurang-kurangnya sebanyak tiga kali dalam seminggu.

KESIHATAN MENTAL

Malangnya langkah-langkah keselamatan pandemik COVID-19 telah mencetus banyak tekanan dan keresahan kerana ramai yang tidak dapat bertemu dengan ahli keluarga dan mereka yang disayangi.

Dengan kelonggaran sekarang serta pembukaan sempadan antara negara, ambil peluang ini untuk bertemu secara fizikal ahli keluarga yang sudah lama terpisah. Ini amat penting demi untuk melestarikan kesihatan mental dan mengelakkan gangguan emosi. Hubungan antara manusia adalah keperluan asas setiap insan.

Sambutan Hari Raya adalah peluang terbaik untuk eratkan kembali tali silaturahim dan tali persaudaraan.

Dr Jazlan Joosoph, Spesialis Obstetri & Ginekologi, Raffles Women Centre
Raffles Medical Group


Publish : 11 Juli 2022
 

Untuk informasi dan pembuatan janji, silahkan hubungi kami di 021-29527102 / 031-51169107
atau klik disini untuk mengisi form pembuatan janji.

Raffles Hospital
585 North Bridge Road
Singapore 188770

Tel: (+65) 6311 1222
Fax: (+65) 6311 2136


Copyright © 2018. Raffles Medical Group. Privacy Policy | Terms & Conditions